Isnin, 22 Jun 2009

10 MP PAS, kenapa memilih jalan untuk mengeruhkan?

Oleh Polis Pencen

TGNA telah mengeluarkan satu kenyataan yang cukup serius kepada Timbalan Presidennya Ustaz Nasharuddin Mat Isa berhubung kenyataan balas TP berkenaan dengan pelawa Dato’ Seri Najib berkenaan dengan Kerajaan Perpaduan seperti yang dilaporkan dalam pelbagai media adalah seperti berikut:-

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan."

Kenyataan ini telah membawa kepada perbahasan yang begitu besar di semua media termasuk di internet. Ada pro dan kontra.

Kenyataan-kenyataan berbentuk hasutan dan memburuk-burukkan TGHA dan Ustaz Nasharudin makin menjadi-menjadi. Ini juga melibatkan Dato’ Mustafa Ali.



Paling menyedihkan terdapat begitu banyak kain rentang menghina Ustaz Nasharudin dinaikkan di Bachok tanpa sebarang siasatan dan tuduhan ini cukup tidak berasas sama sekali. Walaupun ada yang mengatakan ini adalah kerja-kerja puak UMNO/BN bagi mengeruhkan suasana dan mengambil kesempatan mengapi-apikan suasana, tapi saya bagi saya tidak begitu meyakinkan kerana kain rentang dinaikkan di kawasan-kawasan PAS. Takkan begitu mudah kain berbentuk propaganda dipasang di kawasan-kawasan kubu PAS tanpa disedari oleh pihak petugas PAS. Lemah benar ke PAS di kawasan Bachok, sehingga musuh begitu mudah masuk dan pasang kain rentang?

Sepatutnya ada “orang Muslim” yang mendamaikan dalam hal ini, agar api fitnah dan kemarahan tidak begitu membuak. Di mana pemimpin “Muslim” di Bachok?

Saya berani kata begini kerana saya membuat perbandingan yang adil dengan Ibrahim Ali satu lagi MP yang bertanding atas tiket PAS yang mengecam PAS sekarang ini. Andai katakanlah Ustaz Nasharudin memang bersalah dalam hal ini memang patut kain rentang menghinanya dibuat dan dipasang agar beliau sedar diri. Tapi bagaimana pula dengan Ibrahim Ali? Tak pernah saya lihat satu kain rentang pun yang memburuk-burukkan Ibrahim Ali.

Jangan sebab-sebab yang lain membuatkan ada yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan suasana bagi mencapai hajat.

Saya cukup berbangga dengan sikap Ustaz Azizan, MB Besar Kedah dalam hal ini yang cuba untuk meredakan keadaan. Begitu juga dengan kenyataan oleh Naib-Naib Presiden PAS, Haji Mahfuz Omar dan Salahudin Ayud yang cuba untuk menenangkan keadaan dengan meminta Ustaz Nasharudin berjumpa TGNA.

Kenyataan yang sama dibuat oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Dato’ Harun Taib juga menjurus kepada membetulkan keadaan dan menerangkan bagaimana kaedah syarak dalam hal ini.

Saya tidak boleh menerima kenyataan Timbalan Pengarah Pilihan raya Pas Kelantan, Nasir Daud, yang menjelaskan poster Pas pada pilihan raya kecil Manek Urai tanpa gambar Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi.

Perkara ini diperbesarkan sehingga mereka-mereka yang condong kepada UG tidak dibenarkan berceramah di PRK ini. Kalau ini adalah keputusan yang amat bijak dalam membuat strategi bagi memenangkan calon PAS di Manek Urai, apa guna dihebohkan. Tak payah umum buatlah dalam keadaan senyap, tak siapa pun tahu. Ini heboh dalam harakah semacam nak maklumkan kami telah pulau kumpulan menentang pendapat TGNA termasuk Presidennya sekali.



Begitu juga dengan 10 MP PAS membuat kenyataan bersama menyatakan pendirian mereka menolak idea kerajaan perpaduan di parlimen dan bersama di belakang TGNA. Apalah rasionalnya membuat kenyataan ini? Dahlah 10 orang sahaja yang menandai tangan. Dalam sidang hanya 8 sahaja yang hadir. Habis di mana lagi 13 orang MP PAS yang lain. Adakah mereka di belakang TGHA?

Mereka yang terlibat membuat kenyataan itu ialah Dr Hatta Mohd Ramli, Khalid Abd Samad (Shah Alam), Dr Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo' Lo' Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamudden Mohd Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Ini semua kerja-kerja bodoh memburukkan keadaan. Wujud pula tulisan melihat siapa dia 10 orang ini sehingga mereka dikenali sebagai anai-anai dalam PAS dan ada yang mengaitkan dengan kertas kerja “Musuh dalam Selimut” oleh Dato’ Harun Din Timbalan Mursyidul Am PAS dalam Seminar Ulama sebelum ini.

Oleh kerana sebahagian besar nama-nama mereka adalah AJK PAS Pusat, sepatutnya mereka meniru bagaimana orang-orang lama dalam PAS bertindak seperti Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta ahli jawatankuasa Dewan Ulama, Nik Zawawi Salleh yang berjumpa secara senyap di kediaman TGNA di Pulau Melaka.

Begitu juga dengan Timbalan Mursyidul AM Datuk Dr Haron Din telah berjumpa dengan TGNA di Kuala Lumpur. Ada beberapa orang lagi yang telah menziarahi TGNA memberikan pandangan dan membuka perbincangan secara “anak beranak”.

Mereka memilih untuk mendamaikan bukan mengeruhkan lagi suasana.



Saya perturunkan video yang menjadi kemarahan TGNA kepada Ustaz Nasharudin Mat Isa untuk dinilai bersama, benarkan ada “orang-orang” tertentu bermain api perasaan bagi mengeruhkan saf kepimpinan PAS. Walahulam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...